KUALA LUMPUR: Kemenangan filem Abang Adik pada Festival Filem Asia Antarabangsa (AWFF) ke-10 bagi Filem Terbaik di Los Angeles (LA), Amerika Syarikat (AS) mencerahkan peluang untuk meraih sesuatu di Anugerah Akademi (Oscar) Ke-97 di AS, Mac tahun depan.
Pengarahnya Jin Ong berkata, dia cukup terharu dengan pengiktirafan itu apalagi karya dari Malaysia semakin mendapat perhatian besar dari luar.
“Saya masih ingat sempat berterima kasih kepada barisan juri di acara resepsi selepas anugerah itu. Perhatian mereka terhadap wayang Malaysia membawa makna cukup besar sekali.
“Saya sangat berharap kemenangan ini akan membantu Abang Adik mendapat pendedahan lebih banyak dalam menuju ke Oscar untuk Filem Cereka Antarabangsa Terbaik. Semoga ada rezeki kita berhasil dan jadikan ia kenyataan,” katanya.
Jin berkongsi percubaan pertamanya membawa Abang Adik ke AWFF di LA sebuah pengalaman menakjubkan dan mencetus lagi semangatnya.
“Sesi soal jawab yang berlangsung penuh bersemangat selepas tayangannya serta perbincangan dengan pembikin filem di AS adalah pengalaman tidak boleh dilupakan. Ketika itu, saya tidak terfikir akan menang apa-apa.
“Namun, lakonan Wu Kang-ren berjaya menyentuh hati ramai. Dalam sudut hati saya berharap dia akan membawa pulang trofi Pelakon Lelaki Terbaik,” katanya.
Ternyata impiannya itu turut menjadi kenyataan kerana Wu Kang-ren dinobatkan pemenang trofi berkenaan.
Abang Adik mengenepikan 15 filem lain dari seluruh Asia untuk memenangi Piala Snow Leopard.
Kemenangan itu adalah pencapaian terbarunya menambah koleksi 19 anugerah dan pengiktirafan antarabangsa diraih sebelum ini.
Antara pencapaian tertinggi Abang Adik termasuk anugerah Filem Terbaik di Festival Filem Asia New York (Uncaged Competition ke-22), dan merangkul Golden Mulberry, Black Dragon Critics Award serta White Mulberry Award untuk Filem Cereka Terbaik di Far East Film Festival ke-25 di Udine, Itali.
Selain itu filem berkenaan juga menerima pengiktirafan di Festival Filem Antarabangsa Fribourg ke-37, Switzerland dan Festival Filem First di China. – HMetro Online –
IMedikel TV