SEORANG DITIDURKAN, TIGA LAGI CEDERA DIREMPUH KERETA

SEORANG DITIDURKAN, TIGA LAGI CEDERA DIREMPUH KERETA

Marang: Seorang lelaki ditidurkan manakala tiga lagi rakannya cedera selepas dirempuh sebuah kereta ketika berjalan di bahu jalan di kilometer (km) 51, jalan kuala terengganu-kuantan, dekat kampung jambu bongkok, merchang, di sini, semalam.

Mangsa dikenali sebagai Md Shiblu Rahman, 39, terpaksa ditidurkan manakala tiga lagi rakannya, Md Bulbul Sikder, 38, cedera bahu kanan, Md Abdur Roshid, 39, cedera paha kanan dan Md Hridoy Khan, 28, patah paha kanan.

Semua mangsa adalah warga bangladesh yang bekerja sebagai buruh di sebuah tapak projek solar di kampung berkenaan dan kini dirawat di hospital dungun.

Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Superintendan Mohd Zain Mat Dris, berkata nahas berlaku ketika empat rakan terbabit sedang berjalan untuk pulang ke rumah mereka sebelum dilanggar sebuah perodua kelisa dipandu seorang lelaki berusia 24 tahun jam 12.30 tengah hari, semalam.

Katanya, sebelum kejadian pemandu kereta terbabit dikatakan dalam perjalanan dari kuala terengganu untuk pulang ke rumahnya di kampung shukur, dungun.

“sebaik tiba di tempat kejadian, perodua kelisa berkenaan dikatakan hilang kawalan lalu terlanggar keempat-empat lelaki terbabit yang sedang berjalan di bahu kiri jalan untuk pulang ke rumah sewa mereka selepas membeli barangan di kedai runcit di kampung berkenaan.”

Katanya menerusi kenyataan, malam tadi.

Mohd Zain berkata, pemandu perodua kelisa berusia 24 tahun dan bekerja sebagai tukang jahit tidak cedera.

Katanya, kes disiasat mengikut seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Sumber: BH Online

Imedikel TV

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *