Home Sukan REAL ‘MERAJUK’, BOIKOT AKTIVITI PRA FINAL COPA DEL REY

REAL ‘MERAJUK’, BOIKOT AKTIVITI PRA FINAL COPA DEL REY

63
0

SEVILLE: Real Madrid mencetus kontroversi menjelang final Copa del Rey apabila mengecam keras pengadil perlawanan dan bertindak memboikot semua acara pra perlawanan sebagai tanda protes.

Memetik laporan AFP menerusi HMetro Online, penyandang juara La Liga itu melabel kenyataan pengadil final sebagai ‘tidak boleh diterima’ dan menyifatkan tindakan mereka bukti ‘permusuhan jelas’ terhadap kelab berkenaan.

“Kenyataan yang dibuat secara sengaja kurang 24 jam sebelum final menentang salah satu pasukan menunjukkan sekali lagi sikap bermusuhan yang nyata oleh para pengadil terhadap Real Madrid,” menurut kenyataan rasmi kelab.

Sebagai tanda bantahan, Real enggan menghadiri sidang media, sesi latihan terbuka, makan malam rasmi presiden kelab dan sesi bergambar bersama lawan.

Media Sepanyol melaporkan Real turut mempertimbangkan untuk memboikot perlawanan itu sekiranya barisan pengadil tidak ditukar, namun kelab itu kemudian menafikan khabar angin berkenaan.

“Pasukan kami tidak pernah mempertimbangkan untuk tidak bermain dalam final esok,” kata Madrid dalam kenyataan susulan.

Ketegangan memuncak minggu ini apabila saluran rasmi Real Madrid TV menyiarkan video mengkritik ketua pengadil perlawanan, Ricardo de Burgos Bengoetxea — tindakan yang sering dilakukan terhadap beberapa pengadil musim ini.

Bengoetxea, dalam sidang media, mengalirkan air mata apabila menceritakan tekanan yang dialaminya hasil kritikan bertubi-tubi daripada Real Madrid TV, termasuk kesannya terhadap keluarga.

“Apabila anak saya ke sekolah dan dipanggil ‘pencuri’, kemudian pulang dalam keadaan menangis, itu sangat menyakitkan,” katanya dengan sebak.

“Saya hanya mampu ajar anak saya bahawa bapanya seorang yang jujur, sangat jujur… sama seperti atlet lain, saya juga boleh buat silap.” – AFP, HMetro Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here