Port Dickson, NEGERI SEMBILAN: Seorang penganggur dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini, atas tuduhan membunuh seorang wanita warga emas pada 9 Mei lalu.
Tertuduh, Suhaimi Shamsudin, 45, yang tidak diwakili peguam hanya mengangguk faham dan tiada pengakuan direkodkan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret, V Vanita.
Mengikut pertuduhan, Suhaimi didakwa membunuh Siti Aminah Mohd Amin, 67, pada 9 Mei lalu antara jam 7.43 pagi hingga 1.30 tengah hari di sebuah rumah di Batu 8, Jalan Pantai, Teluk Kemang di sini.
Berikutan itu, dia dituduh melakukan kesalahan mengikut 302 Kanun Keseksaan dan sabit kesalahan boleh dihukum mati.
Vanita menetapkan 28 Jun depan untuk sebutan semula kes.
Bagaimanapun, tertuduh mengaku bersalah atas pertuduhan mengikut Seksyen 412 Kanun Keseksaan kerana menyimpan harta curi iaitu sebuah telefon bimbit jenama Nokia milik mangsa yang boleh dikenakan hukuman penjara maksimum lima tahun atau dengan denda atau kedua-duanya.
Tertuduh dalam rayuannya memohon mahkamah merujuknya ke Hospital Permai (Tampoi) kerana ada kes lampau pada 2002.
“Saya mohon hukuman denda dan ada adik ipar yang akan membayar denda itu,” katanya.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Jiwan Kaur Malkith Singh memohon hukuman setimpal diberi kepada tertuduh sebagai pengajaran supaya tidak mengulangi kesalahan dilakukan.
Mahkamah kemudian menetapkan denda RM3,000 dan jika gagal menjelaskannya, tertuduh perlu dipenjara sehingga tujuh bulan.
Sebelum ini media melaporkan cinta tidak berbalas dipercayai menjadi motif pembunuhan seorang wanita warga emas.
Kematian mangsa pada awalnya diklasifikasikan sebagai mati mengejut, namun kertas siasatan diklasifikasikan semula mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan susulan penahanan suspek berusia 45 tahun pada 16 Mei lalu di sebuah rumah kampung di Kuala Klawang, Jelebu.
Sumber BH ONLINE
Imedikel TV