BEKAS TENTERA DIDENDA RM20,000, MENGAKU TEMBAK MATI KUCING JIRAN

BEKAS TENTERA DIDENDA RM20,000, MENGAKU TEMBAK MATI KUCING JIRAN

MELAKA: “Dalam kes ini seekor kucing juga dilindungi undang-undang. Tertuduh tidak sepatutnya mengambil tindakan sendiri (menembak) dalam mengatasi masalah dan seharusnya merujuk kepada pihak berwajib,” kata Hakim Darmafikri Abu Adam.

Darmafikri berkata demikian ketika menjatuhkan hukuman denda minimum RM20,000 terhadap bekas tentera, Aziz Tambi, 63, kerana menembak mati kucing jiran tahun lalu.

Dalam penghakimannya di Mahkamah Sesyen 3, Ayer Keroh, hari ini, Darmafikri turut memerintahkan tertuduh dipenjara enam bulan jika gagal membayar denda itu.

Tertuduh membayar denda berkenaan.

Terdahulu, Aziz menukar pengakuan kepada bersalah terhadap pertuduhan pindaan pada sebutan kes itu, hari ini.

Mengikut pertuduhan pindaan, dia didakwa melakukan penganiayaan terhadap haiwan iaitu menyebabkan penderitaan tidak sepatutnya terhadap kucing milik Amran Majid, 45, dengan menembaknya menggunakan senapang angin.

Kesalahan itu dilakukan di sebuah rumah di Batu 7, Lorong Mat Lajis, Bukit Rambai pada 18 Jun 2022, jam 2.30 petang.

Dia didakwa mengikut Seksyen 29(1)(e) Akta Kebajikan Haiwan 2015 yang memperuntukkan hukuman denda antara RM20,000 hingga RM100,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya.

Mengikut fakta, pada hari kejadian pengadu mendapati kucingnya berwarna hitam putih bernama Molly sakit dan termuntah-muntah lendir serta luka di belakang.

Hasil pemeriksaan di sebuah klinik haiwan, doktor haiwan memberitahu kucingnya ditembak dengan geguli besi dan tidak dapat diselamatkan sebelum pengadu membuat laporan di Balai Polis Tanjung Minyak keesokan harinya kerana mengesyaki perbuatan itu dilakukan tertuduh.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Aliff Asraf Anuar Sharuddin berhujah panjang lebar memohon hukuman setimpal dan bersifat pengajaran dikenakan terhadap tertuduh.

Hukuman berat katanya, perlu dikenakan bukan saja sebagai pengajaran kepada tertuduh atas kekejaman dilakukan terhadap haiwan comel seperti kucing malah bagi mencegah orang lain melakukan kesalahan sama.

Sementara itu, peguam Ishak Mohd Kari merayu mahkamah memberikan hukuman ringan mengambil kira pelbagai faktor termasuk jasa tertuduh ketika menjadi askar pada 1980 hingga 1990, punca kejadian dan tanggungan anak-anak.

Antara lain katanya, tertuduh tertekan lebih 12 tahun akibat tindakan jirannya membela lebih 20 ekor kucing dan membiarkan ia berkeliaran di kawasan kejiranan hingga bukan saja memakan ayam ternakannya malah membuang najis merata tempat.

Pada 21 Jun 2022, media melaporkan dua beranak dicekup polis selepas disyaki menembak kucing dengan senapang angin.

Sumber HMetro Online

Imedikel TV

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *