NATO SEDIA BERTAHAN MENENTANG ‘MOSCOW MAHUPUN MINSK’

NATO SEDIA BERTAHAN MENENTANG ‘MOSCOW MAHUPUN MINSK’

THE HAGUE: Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) bersedia mempertahankan diri daripada sebarang ancaman oleh ‘Moscow mahupun Minsk’.

Pendirian itu disuarakan Setiausaha Agungnya, Jens Stoltenberg, selepas Belarus menerima pemimpin tentera upahan Wagner, Yevgeny Prigozhin, sebagai orang dalam buangan.

Stoltenberg berkata, NATO dijangka menyatakan persetujuan untuk mengukuhkan pertahanannya pada sidang kemuncak utama di Lithuania, minggu depan, bagi melindungi semua negara anggota, terutamanya yang bersempadan dengan sekutu Russia, Belarus.

“Namun, masih terlalu awal untuk membuat sebarang pertimbangan muktamad mengenai kesan daripada pemindahan Prigozhin ke Belarus dan kemungkinan besar juga beberapa pasukannya turut ditempatkan ke negara terbabit.

“Apa yang pastinya, kami sudah menghantar mesej jelas kepada Moscow dan Minsk bahawa NATO berada di sana untuk melindungi setiap sekutu dan setiap inci wilayahnya,” katanya selepas makan malam bersama tujuh pemimpin negara di The Hague.

Prigozhin tiba di Belarus semalam, selepas Wagner menamatkan pemberontakan dramatik minggu lalu, yang menimbulkan ancaman terbesar kepada pentadbiran Presiden Russia, Vladimir Putin.

Prigozhin, yang juga bekas sekutu Kremlin, mewujudkan tentera persendirian paling berkuasa di Russia dengan melatih ribuan banduan untuk berperang di Ukraine.

Pada masa sama, Stoltenberg berkata, pihaknya mahu Moscow atau Minsk sedar mengenai keupayaan NATO untuk mempertahankan sekutu daripada sebarang risiko ancaman termasuk daripada Wagner.

Katanya, negara Barat tidak boleh memandang rendah terhadap keupayaan Russia, walaupun selepas berlakunya pemberontakan itu.

Atas dasar itu, beliau berkata adalah penting bagi NATO untuk terus menyokong Ukraine menentang pencerobohan Russia dan ‘menutup’ laluan kepada keanggotaan Kyiv dalam perikatan itu.

Sementara itu, Perdana Menteri Belanda, Mark Rutte, yang menjadi tuan rumah bagi majlis makan malam berkenaan, menolak dakwaan Putin bahawa Barat mahu Russia saling berbunuhan antara satu sama lain.

“Saya menyangkal tuduhan Putin semalam bahawa kita di Barat mahu Russia terjebak dalam kekacauan dalaman, sebaliknya ketidakstabilan di Russia mewujudkan keadaan sama di Eropah,” katanya.

Presiden Lithuania, Gitanas Nauseda pula memberi amaran berhubung risiko pasukan Wagner berpangkalan di Belarus.

“Jika Wagner mengerahkan pembunuh bersirinya di Belarus, semua negara jiran menghadapi risiko ketidakstabilan yang lebih besar,” katanya.

Sumber BH Online & AFP

Imedikel TV

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *