LONDON: Penyanyi rap Stormzy bekerjasama dengan penyerang Crystal Palace, Wilfried Zaha untuk membeli pasukan liga divisyen sembilan bola sepak Inggeris Croydon Athletic, kata kelab itu pada Selasa.
Zaha dilahirkan di Ivory Coast tetapi dibesarkan di Croydon sejak usia empat tahun, manakala penyanyi sensasi Grime Stormzy juga berasal dari wilayah London itu.
Kedua-duanya bergabung dengan bekas ketua hal ehwal pemain Palace, Danny Young untuk membeli kelab itu.
“Konsortium itu akan memiliki, mengendali dan membangunkan kelab bola sepak zaman kanak-kanak mereka,” menurut Croydon dalam satu kenyataan.
“Ketika proses pembelian tertakluk kepada prosedur perundangan dan tadbir urus, ketiga-tiga ahli konsortium teruja untuk membangunkan aset komuniti di daerah kampung halaman mereka.
“Mereka berharap dapat membabitkan seluruh komuniti dalam perjalanan yang menarik ini bersama mereka.”
Beberapa selebriti baru-baru ini melabur dalam kelab bola sepak.
Pelakon Hollywood Ryan Reynolds dan Rob McElhenney, yang memperoleh Wrexham pada November 2020, menikmati kejayaan selepas kelab Wales itu kembali melayakkan diri ke kancah Liga Bolasepak Inggeris pada April selepas kemarau 15 tahun.
Pelakon Michael B Jordan adalah pelabur di Bournemouth dan pemain ternama liga bola keranjang NBA, LeBron James mempunyai pegangan saham dalam Liverpool.
Sumber BH Online & REUTERS
Imedikel TV