KUALA LUMPUR: Empat lelaki termasuk dua polis berpangkat sarjan yang bertugas di Bukit Aman didakwa di Mahkamah Sesyen, hari ini, atas tuduhan merompak seorang lelaki membabitkan kerugian jutaan ringgit, bulan lalu.
Bagaimanapun, anggota polis itu, Ahmad Shahrizan Ab Rahman, 42, dari Bahagian Risikan, Operasi dan Rekod Jenayah (D4) serta Mohamad Shawal Chekman, 40, dari E9 Cawangan Khas dan Khairul Anwar Ahmad, 40, serta Muhammad Firdaus Zainal, 27, mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan dikemukakan di hadapan Hakim Siti Aminah Ghazali.
Mengikut pertuduhan, mereka dengan niat bersama melakukan rompak berkumpulan ke atas Mohammad Syafiq Hazane Dzulfikri, 25, di Kondominium Irama Wangsa, Seksyen 10, Wangsa Maju, pada jam 8.30 malam 25 Mei lalu.
Pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat jika disabitkan kesalahan.
Susulan pengakuan tidak bersalah itu, Timbalan Pendakwa Raya, Nidzuwan Abd Latip, tidak menawarkan sebarang jaminan terhadap semua tertuduh kerana kesalahan itu tidak boleh dijamin.
“Bagaimanapun jika mahkamah membenarkan jaminan atas budi bicara, kami mencadangkan jaminan RM50,000 bagi setiap tertuduh,” katanya.
Berikutan itu, peguam anggota polis terbabit, Mohamed Yazzer Azzad Zainudin, memohon jaminan minimum bagi setiap anak guam.
“Jaminan untuk pastikan kehadiran ke mahkamah dan perlu diambil kira bahawa kedua-duanya adalah penjawat awam yang masih bertugas hingga kini.
“Kedua-dua mereka pernah mendapat Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC).
“Jika ada syarat tambahan lain boleh melaporkan diri ke balai polis berdekatan,” katanya.
Peguam mewakili dua lagi tertuduh, Mohamad Rohan Mohamad Razi, pula memohon jaminan RM3,000 bagi setiap anak guam.
“Khairul Anwar dan Muhammad Firdaus adalah orang awam. Saya mohon jaminan dibenarkan sebanyak RM3,000 terhadap setiap tertuduh,” katanya.
Siti Aminah kemudian membenarkan jaminan RM12,000 dengan seorang penjamin masing-masing terhadap empat tertuduh dan menetapkan 31 Julai depan untuk sebutan semula kes.
Sumber BH Online
Imedikel TV