Oleh: Afrizam Arif, Wartawan Imedikel TV
KOTA BHARU: Calon N.09 DUN Kota Lama, Dr Hafidzah Mustakim akan menggunakan kaedah menyampaikan fakta dan maklumat yang benar kepada rakyat bagi memastikan kemenangan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Kelantan pada 12 Ogos ini.
Beliau berkata usaha itu sebagai kaedah menyampaikan mesej yang benar bahawa rakyat tidak ada pilihan melainkan mereka perlu memilih wakil yang selari dengan Kerajaan Perpaduan.
“Saya kaitkan terus dengan masalah kesihatan dan perubatan. Kenapa ramai orang Kelantan, daripada statistik kesihatan itu, kebanyakannya rendah, yang keluar dapatkan vaksin rendah dan dapatkan saringan kesihatan pun rendah.
“Kita ada pelbagai program, yang hadir juga sedikit termasuklah ujian mengesan kanser. Antara faktor ialah kerana perasaan takut dan ini hanya boleh dihilangkan dengan maklumat yang betul. Jadi, kita lawan dengan fakta dan maklumat yang benar,” katanya semasa berucap bagi Perasmian Bilik Gerakan Pakatan Harapan (PH) bagi N09 DUN Kota Lama, di sini semalam.
Dr Hafidzah turut melahirkan rasa sedih kerana Kelantan jauh ketinggalan berbanding negeri-negeri lain di Malaysia termasuk dalam kadar pendapatan rakyatnya jika dibandingkan dengan Kuala Lumpur atau Selangor.
“Perkara ini sepatutnya tidak berlaku kerana masih banyak potensi yang belum diketengahkan bagi menjana lebih banyak ekonomi dan peluang pekerjaan di negeri ini.
“Golongan muda berhijrah daripada Kelantan atas banyak sebab antaranya tak cukup infrastruktur dan tidak menarik untuk mereka melabur,” katanya.
Pada PRN Kelantan nanti, Dr Hafidzah (PH-Parti Amanah Negara) akan melawan Zamri Ismail (PN-PAS), Tan Boon Kian (Parti Rakyat Malaysia) dan Izat Bukhary Ismail Bukhary (Bebas).
Imedikel TV