KIEV: Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky, memberi amaran bahawa ‘peperangan’ yang kini sudah bermula di Russia akan diteruskan selepas tiga dron negara itu ditembak jatuh di Moscow.
Memetik laporan REUTERS menerusi Berita Harian, ini adalah antara serangan balas pertama Ukraine di bumi Russia sejak tentera Moscow menceroboh Ukraine pada 24 Februari 2022.
Beliau berkata, peperangan akan ‘dikembalikan’ secara berperingkat ke Russia, khususnya membabitkan pusat simbolik dan pangkalan tenteranya.
“Ini satu tindakan yang adil dan tidak dapat kami elakkan,” katanya selepas melawat Ivano-Frankivsk, sebuah bandar di bahagian barat negara itu.
Pada masa sama, kata Zelensky, Ukraine kini semakin kuat, namun masih harus bersiap sedia menghadapi serangan baharu Moscow terhadap infrastruktur tenaga negara itu, ketika musim sejuk.
Katanya, ketika ini persiapan untuk menghadapi segala kemungkinan sudah dibincangkan di Ivano-Frankivsk.
Sementara itu, menurut Kementerian Pertahanan Russia, pihaknya menembak jatuh tiga dron Ukraine awal semalam, yang cuba menyasarkan Moscow dalam serangan kedua seumpama itu dalam seminggu.
Menurutnya, dua dron terhempas di daerah Moskva-Citi selepas dibawa turun menggunakan peralatan radio-elektronik.
“Pertahanan udara juga menembak jatuh satu lagi dron di udara di atas kawasan Odintsovo di wilayah Moscow.
“Pada pagi 30 Julai, percubaan serangan oleh rejim Kyiv menggunakan kenderaan udara tanpa pemandu terhadap sasaran di bandar Moscow digagalkan,” kata kementerian itu dalam kenyataannya.
Sementara itu, Datuk Bandar Moscow, Sergei Sobyanin, berkata, tiada individu dilaporkan cedera, sebaliknya serangan hanya menyebabkan kerosakan kecil di dua bangunan pejabat di daerah perniagaan Moskva-Citi.
Menurut media Russia, kawasan itu yang jaraknya beberapa kilometer (km) dari Kremlin, terkenal dengan menara pencakar langit yang moden.
Katanya, salah satu bangunan yang rosak menempatkan kediaman milik tiga kementerian kerajaan Russia serta pangsapuri.
Dron milik musuh dilapor menyasarkan ibu kota Russia sejak beberapa bulan lalu, namun ia tidak menyebabkan kerosakan teruk.
Bagaimanapun, perkembangan itu menyebabkan rasa kurang senang dalam kalangan pihak berkuasa Russia yang sebelum ini meyakinkan rakyatnya bahawa negara berkenaan sudah mengawal sepenuhnya keadaan melalui operasi tentera khas terhadap Ukraine.
Serangan melalui dua dron di Kremlin pada Mei lalu menjadi serangan pertama paling berprofil tinggi terhadap Russia yang sebelum ini hanya menyaksikan pertempuran di Ukraine dan bukan di negara sendiri.
Isnin lalu, menurut tentera Russia, negara itu menggagalkan satu lagi serangan ke atas Moscow menggunakan dua dron, salah satunya disasarkan berdekatan dengan ibu pejabat Kementerian Pertahanan.
Berdasarkan tinjauan Reuters, kawasan berkenaan dipenuhi dengan serpihan kaca dan dokumen pejabat itu dikepung oleh polis dan perkhidmatan kecemasan.
Menurut agensi berita TASS, semua penerbangan yang dijadual tiba dan berlepas dari lapangan terbang Vnukovo di Moscow, digantung seketika susulan serangan berkenaan.
Dalam perkembangan berasingan, Kementerian Pertahanan Russia mendakwa berjaya menggagalkan serangan di Semenanjung Laut Hitam Crimea, yang ditakluki negara itu daripada Ukraine pada 2014.
Serangan membabitkan 25 dron Ukraine sebelum ia ditembak jatuh, namun tiada sesiapa yang cedera atau berlaku kerosakan. – REUTERS, BH Online –
Imedikel TV