44 MAUT DALAM SERANGAN PADA PERHIMPUNAN POLITIK DI PAKISTAN

44 MAUT DALAM SERANGAN PADA PERHIMPUNAN POLITIK DI PAKISTAN

PESHAWAR: Sekurang-kurangnya 44 orang maut, manakala lebih 100 lagi mangsa cedera semalam akibat serangan pengebom bunuh diri pada perhimpunan politik sebuah parti Islam radikal di barat laut Pakistan, kata polis.

“Seorang pemimpin kanan daripada parti itu sepatutnya menyampaikan ucapan pada majlis itu, tetapi sebelum ketibaannya letupan bom berlaku,” kata Ketua Polis Wilayah Khyber Pakhtunkhwa, Akhtar Hayat Gandapur kepada AFP.

Katanya, letupan itu disasarkan kepada parti Jamiat Ulama-e-Islam (F) yang menganjurkan konvensyen di bandar Khar, berhampiran sempadan dengan Afghanistan, menjelang pilihan raya akhir tahun ini.

Menurut laporan media tempatan, kira-kira 500 orang hadir pada perhimpunan itu bagi mendengar ucapan seorang ulama radikal dan letupan berlaku semasa pemimpin tempatan sedang berucap.

Polis dan pasukan keselamatan mengepung kawasan itu dan melancarkan operasi mencari.

Memetik laporan AFP menerusi Berita Harian, punca kejadian belum dikenal pasti dan belum ada kumpulan yang mengaku bertanggungjawab melakukan serangan itu, namun kumpulan Daesh Pakistan baru-baru ini melancarkan serangan terhadap JUI-F.

Salah seorang mangsa, Abdullah Khan, yang cuba membantu mereka yang cedera, berkata khemah yang didirikan roboh dan memerangkap ramai mangsa yang cuba menyelamatkan diri.

“Kami semua bingung, cebisan dan anggota badan manusia berselerakan di antara mayat yang bergelimpangan,” katanya.

Menteri Kesihatan Wilayah Khyber Pakhtunkhwa, Riaz Anwar, lewat semalam turut mengesahkan 44 mangsa maut dan lebih 100 lagi cedera setakat ini tetapi tidak menolak kemungkinan angka itu akan meningkat.

“Ini adalah serangan pengebom bunuh diri yang meledakkan letupan pada lokasi berhampiran pentas utama,” katanya kepada AFP.

Dewan Perhimpunan Kebangsaan Pakistan dijangka dibubarkan dalam tempoh beberapa minggu lagi bagi membolehkan pilihan raya umum diadakan Oktober atau November ini, dengan kebanyakan parti politik sudah bersedia untuk kempen. – AFP, BH Online –

Imedikel TV

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *