RONALDO SUMBAT DUA PENALTI

RONALDO SUMBAT DUA PENALTI

RIYADH: Cristiano Ronaldo menyempurnakan dua penalti ketika membantu Al-Nassr mencatat kemenangan kedua berturut-turut dalam Liga Pro Saudi awal pagi tadi apabila menjadikan Al-Shabab mangsa mereka dengan jaringan besar 4-0.

Memetik laporan AGENSI menerusi Berita Harian, Ronaldo tidak banyak mendapat bola sebelum dia ditugaskan mengambil sepakan penalti pada minit ke-12 dan tidak melakukan kesilapan, mengelirukan penjaga gol Kim Seung Gyu ke arah bertentangan.

Dia kemudian dinafikan gol kedua beberapa minit kemudian apabila pengadil membatalkan tandukan padunya kerana mengasari pertahanan lawan.

Ronaldo jelas tidak berpuas hati dengan keputusan itu namun kembali tenang apabila Al-Nassr menerima sepakan penalti kedua tujuh minit sebelum rehat.

Bintang Portugal itu mengarahkan sepakannya ke arah sama dan kali ini penjaga gol dapat mengagak dengan tepat tetapi percubaannya terlalu bagus untuk dihalang.

Ronaldo kemudian bertindak menjadi pengumpan kepada Sadio Mane yang menjadikan kedudukan 3-0 pada minit ke-40.

Sultan Al-Ghannam menambah gol keempat 10 minit sebelum tamat ketika Al-Nassr melonjak ke tangga keenam, enam mata di belakang pendahulu Al-Ittihad. Mereka tumpas dua aksi pertama liga.

Ronaldo kini mengumpul lima gol dalam dua aksi terakhir liga sekali gus muncul pendahulu penjaring gol terbanyak.

Sementara itu, bekas pemain sayap Newcastle, Allan Saint-Maximin mengumpan kepada bekas pemain Manchester City, Riyad Mahrez untuk menjaringkan gol pembukaan ketika membantu Al-Ahli menang 2-0 di laman sendiri ke atas Al-Ta’ee, yang menyaksikan Alfa Semedo dibuang padang pada minit ke-35.

Mahrez kemudian menjadi pengumpan kepada Franck Kessie bagi gol kedua ketika pasukannya menyertai Al-Ittihad di puncak carta dengan empat kemenangan daripada empat perlawanan. – AGENSI, BH Online –

Imedikel TV

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *