ZAMAN RAMPASAN KUASA TENTERA DI THAILAND SUDAH BERLALU – SUTIN

ZAMAN RAMPASAN KUASA TENTERA DI THAILAND SUDAH BERLALU – SUTIN

BANGKOK: Timbalan Ketua Parti Pheu Thai, Sutin Klungsang yang bakal dilantik ke jawatan Menteri Pertahanan menegaskan keyakinan bahawa Thailand sudah melewati zaman rampasan kuasa tentera.

Katanya, dengan bantuan penasihat yang merupakan bekas pegawai tentera, beliau akan dapat menguruskan hal ehwal antara kementerian terpenting negara dengan berkesan.

Beliau bagaimanapun meminta sehingga pengumuman rasmi dibuat mengenai pengesahan jawatannya itu.

Memetik laporan Thai PBS World, Sutin antara calon untuk portfolio Kabinet yang menyerahkan resume kepada Sekretariat Kabinet untuk pengesahan rasmi.

Ketika ditanya ikrar manifesto Pheu Thai untuk mereformasi tentera, Sutin berkata pihaknya akan cuba melaksanakan setiap janji pilihan rayanya.

“Setiap dasar mesti dilaksanakan, tetapi berapa lama bergantung kepada realiti keadaan dan pelbagai faktor lain,” katanya.

Sutin, bekas guru dan ahli politik veteran dipilih Perdana Menteri Srettha Thavisin untuk jawatan Menteri Pertahanan selepas pencalonan sebelum ini, Jen Nattaphon Narkphanit, bekas Setiausaha Agung Majlis Keselamatan Negara, ditolak berikutan tentangan daripada ahli “puak baju merah”.

Nattaphon didakwa terbabit dalam tindakan keras menangani penunjuk perasaan pro-Thaksin pada 2010.

Diminta mengulas hubungan buruk antara parti politiknya dan tentera, Sutin berkata matlamat parti adalah membawa negara ke arah perpaduan dengan perpaduan harus menjadi keutamaan setiap orang.

Perdana Menteri Yingluck Shinawatra dari Parti Pheu Thai telah digulingkan dalam rampasan kuasa tentera pada 2014, manakala abangnya Thaksin menghadapi nasib yang sama ketika beliau menjadi perdana menteri pada 2006. Parti itu berkempen atas platform antitentera pada pilihan raya umum Mei baru-baru ini.

Sutin berkata beliau percaya tiada sesiapa dalam tentera yang mahu melihat satu lagi rampasan kuasa tentera.

“Saya percaya, mulai sekarang, tidak perlu ada lagi rampasan kuasa tentera. Kita telah lama melewati hari-hari itu,” katanya.

Sutin bukanlah orang awam pertama yang menyandang portfolio pertahanan. Terbaharu, bekas perdana menteri Yingluck, Samak Sundaravej dan Chuan Leekpai turut menjadi menteri pertahanan. – AGENSI, BH Online –

IMedikel TV

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *