Oleh: Nur Athirah Azman, Wartawan Imedikel TV
KOTA BHARU: Masih ramai dianggarkan mangsa gangguan seksual yang tidak berani tampil melaporkan kes penganiayaan terhadap mereka kerana takut dan malu terhadap masyarakat sekeliling.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (PWKM), Datuk Seri Nancy Shukri berkata orang ramai menganggap kes gangguan seksual yang berlaku itu sebagai jenaka dan bukan perkara yang serius.
Beliau memberitahu, menurut statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM), jumlah kes gangguan seksual yang dilaporkan meningkat daripada 378 kes pada 2020.
“Selepas itu meningkat kepada 506 kes pada tahun 2021 dan sedikit penurunan pada tahun 2022 iaitu 477 kes tapi bagi saya walaupun ia berlaku penurunan, saya masih lagi sangsi kerana belum tahu mungkin ramai dikalangan masyarakat yang tidak melaporkan.
“Saya nak ulangkan sekali lagi, walaupun kita menyatakan ada penurunan namun kita tidak pasti samaada ianya penurunan ataupun kerana mungkin ada yang tidak mengaku, walaubagaimanpun setakat ini, itu hanya kes yang sudah dilaporkan.”katanya ketika sidang media selepas Program Jerayawara KPWKM@Advokasi Antigangguan Seksual Negeri Kelantan di sini, hari ini.
Jelas Nancy, terdapat 11 kes gangguan seksual terjadi di Kelantan.
“Kita ingin membawa kepada masyarakat di luar sana bahawa terdapat undang-undang di negara ini, jadi jangan takut dan segan kerana ini menjadi satu perkara yang kita geruni kerana ianya boleh mempengaruhi kanak-kanak juga.”
Beliau juga bimbang jika ahli keluarga hanya berdiam diri untuk membuat laporan berkaitan gangguan seksual terhadap kanak-kanak.
Imedikel TV