KUALA LUMPUR: Pengendali skuad bawah 23 (B-23) tahun negara, E Elavarasan boleh dianggap sebagai individu paling lega selepas pasukannya berjaya menewaskan Bangladesh dalam aksi sulung kelayakan Piala Asia B-23 2024 di Stadium Chonburi, Thailand, semalam.
Ia susulan skuad negara yang pada awalnya dijangka tidak berdepan masalah untuk meraih tiga mata bergelut untuk memecah kebuntuan jaringan sebelum Aliff Izwan meledak gol pembukaan ketika perlawanan berbaki sembilan minit dan Fergus Tierney menambah gol kedua pada masa kecederaan.
Elavarasan menjelaskan kerjasama berpasukan daripada semua pemain menjadi faktor utama Harimau Malaya B-23 berjaya meraih kemenangan pada penghujung permainan selepas Bangladesh beraksi dengan baik di bahagian pertahanan.
Dia berkata, perkara paling penting adalah pasukannya mencapat objektif untuk meraih tiga mata berharga dan perlu memberi fokus kepada aksi kedua Kumpulan H berdepan Filipina, Sabtu ini.
“Paling penting kami meraih tiga mata dan kami akan melangkah ke hadapan untuk perlawanan seterusnya. Secara keseluruhan kami bekerja sebagai satu pasukan.
“Pemain berdepan kesukaran untuk mendapatkan jaringan dan ia perlawanan yang sukar bagi kami. Saya fikir pasukan lawan bertahan dengan baik dan kami cuba yang terbaik untuk mendapatkan gol.
“Seluruh pasukan bekerja keras untuk mencapai objektif dengan tiga mata ini sangat penting bagi kami,” katanya.
Kemenangan itu menyaksikan skuad negara menguni tangga kedua Kumpulan H, berkongsi tiga mata bersama tuan rumah Thailand yang berada di kedudukan teratas selepas membelasah Filipina 5-0.
Mengikut format pertandingan, 16 pasukan terdiri daripada 11 juara kumpulan dalam saingan kelayakan bersama empat naib juara terbaik kumpulan dan tuan rumah, Qatar akan layak beraksi di pusingan akhir. – BH Online –
Imedikel TV