ARTETA TERUJA ARSENAL BELASAH PSV

ARTETA TERUJA ARSENAL BELASAH PSV

LONDON: Mikel Arteta menyanjung kepulangan “memukau” Arsenal ke kancah Liga Juara-Juara ketika Bukayo Saka dan Leandro Trossard mencetus kemenangan besar 4-0 ke atas PSV Eindhoven awal pagi tadi.

Kembali ke pertandingan kelab elit Eropah buat kali pertama dalam tempoh enam tahun, Arsenal membenam cabaran pendahulu liga Belanda itu untuk membuktikan mereka boleh bersaing dalam pertandingan bertaraf tinggi.

-Memetik laporan dari agensi berita harian-

Anak buah Arteta bermaharajalela pada babak pertama di Stadium Emirates, dengan Saka menjaringkan gol pertamanya dalam pertandingan itu sebelum mengumpan kepada Trossard untuk menggandakan pendahuluan.

Trossard turut menjadi pengumpan gol ketiga buat Gabriel Jesus dengan kapten Martin Odegaard melengkapkan jaringan selepas rehat.

“Ia satu malam yang indah selepas sekian lama. Hebat untuk menyaksikan suasananya, lagu Liga Juara-Juara. Ia satu suasana penuh emosi sebelum perlawanan,” kata Arteta.

“Kami perlu mencetus tenaga itu. Saya amat teruja namun saya mahu mengawal emosi. Kami perlu menikmati malam sebegini. Ia satu malam yang harus diingati.”

Pemain Arsenal, Bukayo Saka (kanan) menjaringkan gol pertama daripada empat gol pasukannya ketika membenam PSV 4-0 di Stadium Emirates, London awal pagi tadi. – Foto REUTERS

Perlawanan terakhir Arsenal dalam pertandingan itu adalah pada Mac 2017, apabila Bayern Munich melengkapkan kemenangan agregat 10-2 pada pusingan 16 terakhir.

The Gunners kini kelihatan mantap di sebalik kekurangan pengalaman dalam Liga Juara-Juara dan sepatutnya mudah melepasi peringkat Kumpulan B, yang turut menampilkan Sevilla dan Lens.

Arsenal tidak kalah dengan empat kemenangan daripada lima aksi Liga Perdana Inggeris ketika mereka mahu menebus kegagalan meraih kejuaraan musim lalu.

Namun peluang untuk mara lebih jauh dalam Liga Juara-Juara – pertandingan yang tidak pernah dimenangi mereka – juga satu insentif utama buat anak buah Arteta dan mereka membuktikan kesungguhan itu awal pagi tadi.

“Kami cemerlang di kedua-dua kotak penalti, itulah perbezaannya. Apabila anda lihat pasukan ini berlari dengan rentak yang maksimum, ia seronok untuk ditonton. Tindakan penyudah semuanya bertaraf dunia,” kata Arteta.

“Untuk menjaringkan empat gol menentang pasukan yang menang setiap perlawanan musim ini luar biasa, tetapi ada perkara yang masih boleh diperbaiki.” – AFP

Imedikel TV

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *