Menjadi kebiasaan pada orang ramai terhadap pertumbuhan jerawat pada kulit wajah.
Namun, hal itu jelas menimbulkan ketidakselesaan pada wajah akibat pedih dan sakit jika tersentuh.
Tambahan pula, wanita sering kali terjebak dengan tabiat suka memicit jerawat sehingga menimbulkan parut yang dalam pada wajah.
Bagaimanapun, parut yang dalam pada wajah bukan sahaja mencacatkan penampilan hinggakan sapuan bedak asas sekalipun tidak dapat menutupi kesannya, namun masih ramai yang belum mengetahui bahawa tabiat memicit jerawat adalah berbahaya.
Menurut Dr Latif Saad dari TheDiagnosa, terdapat risiko memicit jerawat terutamanya pada bahagian Dangerous Triangle atau segitiga bahaya di muka seperti boleh menyebabkan strok disebabkan pembentukan darah beku yang ada dalam kawasan sinus, jangkitan pada otak dan lumpuh saraf disebabkan adanya kuman dalam kawasan sinus yang boleh membawa kesan pada penglihatan.
Dalam pada itu, memicit jerawat menggunakan tangan juga akan menyebabkan jerawat bertambah naik disebabkan bakteria yang terdapat pada tangan membuatkan jerawat muncul pada kulit wajah.
Menurut Doktor Estetik Mediklinik Taman TTDI Jaya Shah Alam, Dr Nur Faradiana Osman, parut adalah proses pemulihan kulit terhadap kerosakan yang berlaku pada mana-mana bahagian yang cedera akibat pelbagai faktor. Ini termasuk kesan jerawat, luka pembedahan, jangkitan kuman, terkena air panas, kemalangan, penyakit kulit dan luka akibat terkena benda tajam.
Ketika penyembuhan berlaku, tisu yang normal akan digantikan tisu fibrosis dan kolagen baru terbentuk hingga meninggalkan kesannya.
Parut boleh dikategorikan kepada beberapa jenis iaitu parut atropik, hipertrophy, keloid dan kontrakatur. Parut atropik lebih kerap berlaku pada wajah disebabkan tabiat memicit jerawat. Jari yang tidak bersih boleh menyebabkan jerawat lebih banyak terjadi dan risiko untuk mendapat parut dalam lebih tinggi.
Bagi wanita yang memiliki kulit berjerawat sepatutnya tidak memicitnya kerana ia akan memburukkan lagi keadaan. Berjumpalah doktor kulit dan estetik bertauliah bagi menyelesaikan masalah jerawat. Jika dibiarkan, ia akan meninggalkan parut yang dalam.
IMedikel TV