BERLIN: Satu sepakan lambung menakjubkan daripada Julian Brandt pada babak kedua membantu Borussia Dortmund melonjak ke tangga teratas Bundesliga dengan kemenangan 1-0 di laman sendiri ke atas Werder Bremen awal pagi tadi.
Brandt yang dilahirkan di Bremen dan beraksi perlawanan liga ke-300, memecah kebuntuan pada pertengahan separuh masa kedua apabila menyambut hantaran Emre Can sebelum menyungkit bola melepasi penjaga gol Bremen, Michael Zetterer.
Kemenangan itu membantu Dortmund mendahului liga satu mata di depan, sekalipun Bayer Leverkusen boleh merampas semula kedudukan itu dengan kemenangan di Wolfsburg malam ini.
“Saya perlu katakan, semuanya berjalan dengan amat baik hari ini,” kata Brandt kepada DAZN selepas perlawanan.
Memetik laporan AGENSI menerusi berita harian,Brandt, yang kembali bersama Jerman bagi dua aksi persahabatan di Amerika Syarikat kurang 48 jam sebelum perlawanan itu berkata: “Saya amat gembira, tetapi terlalu letih. Saya pasti bangga apabila saya pulang ke rumah dan berbaring di katil.”
Pengurus Dortmund, Edin Terzic menyatakan ia satu “perlawanan yang berhak dimenangi mereka, apabila anda melihat peluang yang kami cipta.”
Jurulatih Bremen, Ole Werner berkata keputusan itu “memedihkan” selepas “satu persembahan yang bagus yang mana kami tidak bernasib baik.”
Dortmund hadir pada perlawanan itu tanpa kalah di sebalik gagal memukau dalam kempen liga, terikat bersama Bayern Munich dengan 17 mata selepas tujuh perlawanan.
Bremen adalah pasukan terakhir menewaskan Dortmund di laman mereka, menjaringkan tiga gol dalam enam minit untuk mengubah kedudukan 0-2 kepada kemenangan 3-2 dalam masa kecederaan pada Ogos musim lalu. – AFP-AGENSI-BH ONLINE-
Imedikel TV